Powered by Blogger.

Blog Archive

Jawi buru tiga gadis dipeluk, cium artis K-Pop


Salah seorang daripada tiga wanita Islam yang teruja dapat bertemu artis K-Pop yang diminatinya.
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kini sedang menjejaki tiga wanita Islam yang terlibat melakukan perbuatan sumbang bersama ahli kumpulan K-Pop, B1A4 ketika penganjuran sebuah konsert di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jawi, Wan Jaafar Wan Ahmad berkata, setakat ini tiada pihak yang berkenaan tampil bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, siasatan kita progesif. Tetapi kita sedang mencari di mana budak-budak perempuan itu berada untuk minta mereka bantu siasatan.
“Kita ada skuad di bahagian penguatkuasaan yang akan bertanggungjawab untuk menjejaki mereka. Apapun, saya nasihatkan kepada mereka yang terlibat untuk tampil sendiri kepada kita,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.
Aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop dari Korea Selatan bersama tiga peminatnya yang bertudung ketika berada di atas pentas konsert mencetuskan kontroversi dan mendapat kecaman pelbagai pihak terutama umat Islam.
Video aksi mereka kini menjadi viral dan hangat diperkatakan di laman sosial selepas ia dimuat naik di YouTube.
Ditanya sekiranya Jawi akan mendapatkan maklumat mengenai peminat wanita berkenaan daripada penganjur konsert, Wan Jaafar berkata, kemungkinan sukar kerana mereka tidak mahu mendedahkan butiran tersebut.
“Jadi, kita perlu berusaha menjejaki mereka yang terlibat, atau mereka sendiri tampil kepada kita,” katanya sambil menambah, sebarang perkembangan mengenai siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Penganjur konsert, TGM Events dalam satu kenyataannya pada Isnin memberitahu, sebarang maklumat peminat yang terlibat tidak akan dikeluarkan.
Sementara itu, kertas siasatan berhubung isu tersebut telah dibuka di bawah Seksyen 29 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1977 (Akta 559) Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam.
Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya dalam kenyataannya pada Isnin berkata, perbuatan peminat  yang dilihat melampaui batas dan bertentangan dengan ajaran Islam serta mengganggu sensitiviti umat Islam di negara ini.
Jika disabitkan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. -Mstar
Bagikan :
+
Previous
Next Post »
0 Komentar untuk "Jawi buru tiga gadis dipeluk, cium artis K-Pop"

 
Template By Kunci Dunia
Back To Top