Powered by Blogger.

Blog Archive

Liyana Jasmay intai SonaOne



Liyana masih minat menyanyi. SonaOne (kanan) pilihan Liyana. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
KUALA LUMPUR: Penyanyi, pelakon dan ibu kepada Sofia Arissa, Liyana Jasmay bakal terbabit berduet dengan penyanyi hip hop meningkat naik, SonaOne tak lama lagi.
Hal itu disahkan sendiri Liyana semalam.
Dalam pertemuan ketika berlangsungnya sidang media tayangan amal filem Isyarat Cinta terbitan RK Screen dan Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) semalam, Liyana mengatakan pihaknya baru saja berjumpa dengan SonaOne.
Populariti SonaOne kini mencanak naik selepas lagunya Apa Khabar dendangannya menang kategori Lagu Hip Hop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-21 tahun lalu dan juara Anugerah Juara Lagu (AJL)ke-29 baru-baru ini. 
Teraju utama Isyarat Cinta, Liyana Jasmay dan Fizo Omar. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
"Kami Insya-Allah akan berduet sekitar bulan depan atau Mac ini untuk lagu runut bunyi filem terbitan syarikat produksi saya, Mermaid Studios. Bagaimanapun lagu itu belum berjudul. Keputusan berduet ini sudah dibuat lama. Sepatutnya kami berjumpa hujung tahun lalu.
"Tapi hanya sehari selepas kemenangannya di AJL 29, baru kami dapat berjumpa dan berbincang. Tak sangka pula kemenangan dan rezeki berpihak kepada dia dan Joe Flizzow di anugerah anjuran TV3 itu. Saya tumpang gembira. Lagu duet kami nanti mempunyai sentuhan R&B dan Pop," kata Liyana yang menyifatkan SonaOne seorang yang sangat merendah diri.
Kali terakhir Liyana muncul dengan single pada 2013 menerusi lagu Jujur. Ironinya, biarpun dilihat menyerlah dalam lakonan sebelum ini, dunia nyanyian yang dilihat sesetengah orang kepadanya sekadar suka-suka tetap dicintai beliau.
"Saya masih minat menyanyi. Tapi untuk mendapatkan material lagu yang baik itu kena betul-betul. Ada kalanya percaturan kita tak menjadi. Tapi saya melihat kejayaan lagu Cinta Bersatu cukup baik dan membakar semangat saya.
"Macam berlakon pun bukan senang nak dapat naskhah yang baik dan hebat. Ia kadang-kadang berbalik kepada soal tuah dan rezeki," katanya yang memegang watak Dian gadis OKU (Orang Kelainan Upaya).
Dalam perkembangan lain, Liyana dan kakaknya sedang mengusahakan label rangkaian pakaian Mermaid Luxe yang terdiri dari pakaian 'ready to wear' seperti tudung, kimono dan gaun wanita. Idea berkenaan timbul selepas Liyana bekerjasama dengan pemilik butik Bella Ammara.
"Kami ada kedai yang beroperasi di Modvier Bangsar dan selain boleh dibeli di dalam talian. Saya dan kakak berfikiran kerjasama ini boleh dibanggakan apabila anak kami meningkat dewasa," katanya yang turut terbabit dalam kempen NipponMomentoLove.
Terlanjur berjumpa Liyana, beliau turut ditanya mengenai anak kesayangannya.
"Sofia memang kalau saya ke pejabat Mermaid Studios, dia akan kena tinggal. Selalunya tengah hari saya akan balik rumah untuk menyusu badannya. Mujur pejabat dekat dengan rumah. Itulah antara rutin harian saya," katanya.
Isyarat Cinta menceritakan kisah cinta antara Iskandar (Adi Putra) iaitu orang kelainan upaya cacat pendengaran dan Dhia (Liyana Jasmay) yang buta. Tiga pelakon ini menampilkan sebuah lakonan berbeza dalam Isyarat Cinta.
Mereka bertemu ketika Iskandar cuba menyelamatkan Dhia dalam satu kemalangan jalan raya sehingga membibitkan rasa cinta masing-masing. Hubungan mereka dijalinkan melalui orang tengah iaitu Ariel (Fizo Omar) apabila segala luahan Iskandar yang cacat pendengaran itu disampaikan kepada Ariel untuk Dhia.
Namun dalam masa yang sama Ariel pula mempunyai perasaan terhadap wanita itu.
Bagikan :
+
Previous
Next Post »
0 Komentar untuk "Liyana Jasmay intai SonaOne"

 
Template By Kunci Dunia
Back To Top