Pengguna Facebook tersebut mahu agar siasatan segera dibuat kepada pengusaha stesen minyak terbabit yang disifatkannya sebagai lintah darat.
KUALA LUMPUR, 1 Januari:
Seorang pengguna laman sosial Facebook melahirkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa sebuah stesen minyak di Lebuh Bandar Utama Damansara di sini, tidak menurunkan harga petrol meskipun kerajaan telah mengumumkan penurunan harga bahan api itu berkuatkuasa jam 12 tengah malam tadi.
Pengguna Facebook tersebut yang hanya menggunakan nama profil ‘Liker’ berkata, dia mempunyai bukti bagi menyokong dakwaannya itu dengan memiliki satu resit pembelian minyak yang dibuat olehnya di stesen tersebut pada jam 7 pagi tadi.
Dakwanya lagi, dia turut membantu menyelamatkan empat orang pelanggan lain di stesen minyak terbabit agar tidak menjadi mangsa penipuan dengan mengisi minyak di situ.
“Beginikah cara kerajaan mengawal harga minyak dengan membiarkan pengusaha stesen minyak ini menipu rakyat. Di mana menteri dan dimana penguat kuasa KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan)?” soalnya.
Tambah pengguna Facebook tersebut, dia mahu agar siasatan segera dibuat kepada pengusaha stesen minyak terbabit yang disifatkannya sebagai lintah darat.
Dia turut menggesa pihak yang berkenaan (KPDNKK) mengambil tindakan terhadap pengusaha stesen minyak terbabit tanpa ada sebarang unsur rasuah yang boleh menyebabkan pengusaha stesen itu terlepas daripada undang-undang.
Namun, pengguna Facebook berkenaan tidak menyatakan sama ada dia bersemuka dengan pemilik atau pekerja stesen minyak berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai harga petrol yang tidak diturunkan seperti arahan kerajaan itu.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, pengguna tersebut boleh menuntut kembali wang lebihan yang terpaksa dia keluarkan untuk membeli minyak tersebut.
Menurutnya, ia merupakan hak pengguna tersebut dan tidak ada sebab mengapa pengusaha stesen minyak berkenaan enggan untuk memulangkan kembali wang berkenaan.
“Sekiranya pengusaha tersebut enggan membayar, saya menasihatkan agar pengguna berkenaan membuat laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP).
“Selepas aduan tersebut dibuat, TTP akan menyiasat kes berkenaan dan akan memanggil pengusaha terbabit untuk mendapatkan penjelasan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini.
Tambah Alias lagi, pengusaha stesen minyak perlu sedar dengan sebarang perubahan harga minyak yang diumumkan kerajaan bagi mengelakkan insiden seperti ini berlaku pada masa akan datang.
Jelasnya, dalam kes ini, kerajaan telah membuat pengumuman seawal pukul 8 malam mengenai penurunan harga minyak RON95, RON97 dan juga diesel di seluruh negara.
“Mereka ada lebih kurang empat jam untuk bersedia dan membuat perubahan dalam sistem operasi stesen mereka dan kebanyakan daripadanya dilakukan secara automatik kecuali stesen minyak mini di luar bandar yang terpaksa membuat penurunan harga secara manual,” ujarnya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/01/stesen-minyak-tidak-turun-harga-tipu-pengguna/#ixzz3NkhQsDWV
0 Komentar untuk "Stesen minyak tidak turun harga tipu pengguna!!!"