Powered by Blogger.

Blog Archive

AINAN TASNEEM NAFI BERLAGAK DIVA




MESKIPUN sibuk belajar, Ainan bakal muncul dengan lagu terbaharu gandingan bersama kumpulan Sleeq.

SEDIKIT bertentangan dengan kesopanan imej dan senyuman yang sering terukir di wajahnya, nama penyanyi, Ainan Tasneem Redzuan, 23, sering dihambat kontroversi kurang manis.

Tidak lama selepas didakwa berpegangan tangan dengan kekasihnya ketika keluar bersama dan berdua-duaan selama 45 minit di dalam kereta, terbaharu, Ainan sekali lagi berdepan cerita yang tidak enak didengar.

Kali ini, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Suka Dia itu dikatakan berlagak diva. Dia didakwa semakin sukar untuk memberikan kerjasama dalam segala urusan berkaitan kerjaya seninya. Ada sahaja alasan diberikan Ainan sehingga memualkan sesetengah pihak.

Penyanyi yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Bioproses di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu bagaimana pun tenang berdepan cemuhan.




Kata Ainan, dia tidak menyangka terkena tempias dunia glamor, padahal nyanyian bukanlah karier sepenuh masa yang harus menjadi fokus hidupnya.

Menafikan dirinya berlagak diva, Ainan mengakui tidak terkesan dengan segala kontroversi yang timbul.

KOSMO!: Apa khabar Ainan? Terbaharu Ainan didakwa berlagak diva kerana dikatakan semakin sukar untuk memberikan kerjasama atas urusan kerjaya dan kepada pihak media, benarkah begitu?

AINAN: Siapalah saya untuk berlagak diva. Saya hanya penyanyi separuh masa dan bukannya penyanyi hebat. Rasanya, perkara itu timbul disebabkan masalah saya yang sukar menjawab panggilan telefon. Diakui, saya jarang menjawab panggilan telefon dengan segera kerana kesibukan sebagai pelajar tahun akhir. Kebanyakan masa saya dihabiskan di makmal dan tidak boleh selalu menggunakan telefon ketika belajar. Selalunya, orang yang ingin hubungi saya akan memaklumkan terlebih dulu seperti menghantar mesej supaya saya boleh menjawab panggilan tanpa gangguan dan pada masa yang benar-benar lapang.

Jika terlalu sibuk sebagai pelajar, bagaimana pula dengan kerjaya nyanyian?

Kerjaya nyanyian merupakan pekerjaan separuh masa. Keutamaan saya ialah pelajaran. Selepas habis belajar sekitar Jun nanti, mungkin saya akan kembali aktif sebagai penyanyi. Namun, saya merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana pada bulan September depan. Bukannya kerjaya nyanyian tidak penting, saya tetap bersyukur kerana kehadiran saya dalam industri muzik diterima dengan baik.

Walau bagaimanapun, saya sudah berjanji dengan keluarga untuk menamatkan pelajaran terlebih dulu sebelum aktif sepenuhnya dalam bidang nyanyian. Jika ada rezeki sebagai penyanyi, saya akan terus menyanyi, jika tidak, saya akan bekerja dalam bidang yang saya pelajari.

Apakah perasaan anda apabila sering dikaitkan dengan kontroversi negatif?

Sejujurnya saya langsung tidak terkesan dengan segala kontroversi yang timbul sebab semua itu tidak betul. Saya dan keluarga hanya ketawa apabila ada kontroversi mengenai saya diperkatakan.

Keluarga cukup kenal siapa saya dan hubungan dengan kekasih. Untuk apa mahu sedih atau terasa hati dengan kontroversi yang sengaja dicipta untuk menjatuhkan saya.

Adakah selepas timbul isu anda berpegangan tangan dengan kekasih, adakah anda lebih menjaga tingkah laku apabila di tempat awam?

Jika ikutkan, sejak dahulu lagi memang saya menjaga tertib gadis bertudung. Saya tahu, ramai yang memerhati, sebab itu, jika berbual atau makan dengan kekasih, saya akan pastikan kami berada di tempat terbuka kerana bimbang timbul fitnah.

Apa yang paling lucu, saya dikatakan berdua-duaan dengan kekasih selama 45 minit di dalam kereta. Kalau benar, di mana buktinya? Kenapa tidak rakam video? Sebab itu saya tidak kisah dengan kontroversi yang timbul kerana mulut orang tidak boleh ditutup.

Walaupun hanya sebagai penyanyi separuh masa, anda tidak terlepas daripada kontroversi. Adakah anda sudah bersedia andainya nyanyian dijadikan karier sepenuh masa?

Menjadi seorang pelajar yang menyanyi sekadar suka-suka sehingga menjadi perhatian orang dan dikaitkan dengan kontroversi negatif, sememangnya itu satu keadaan yang tidak dijangka. Mulanya saya agak terkejut tetapi sekarang saya sudah menerima keadaan itu dengan baik. Jika ditakdirkan saya menjadi penyanyi sepenuh masa, saya sudah bersedia dari segi mental untuk berdepan segala macam ragam manusia dalam industri seni.

Bagaimana dengan perkembangan terbaharu kerjaya seni anda?

Alhamdulillah, walaupun sibuk belajar, saya telah selesai merakam lagu terbaharu berjudul Serahkan Padaku duet bersama kumpulan Sleeq. Lagu yang dicipta oleh Alyph Sleeq itu dijangka dimainkan di radio dalam masa terdekat.
Bagikan :
+
Previous
Next Post »
0 Komentar untuk "AINAN TASNEEM NAFI BERLAGAK DIVA"

 
Template By Kunci Dunia
Back To Top